Kuala Lumpur, Dis-
Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN) mengesahkan pelantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Setiausaha Agung gabungan itu manakala Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dilantik sebagai Ketua Penerangan.
Menurut Mohamed Azmin dalam kenyataan malam tadi, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempengerusikan mesyuarat itu turut memaklumkan Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai Ketua Wanita PN.
Beliau berkata, BERSATU turut menamakan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Timbalan Pengerusi PN, manakala Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee sebagai anggota MT PN selaras dengan keputusan pemilihan parti itu baru-baru ini.
“Mesyuarat MT PN juga membincangkan dan mengambil maklum perkembangan politik semasa di Sabah dan mengambil ketetapan bahawa Perikatan Nasional akan menyertai Pilihan Raya Negeri Sabah yang akan diadakan selewat-lewatnya November 2025,” katanya.