Kuala Lumpur, Dis-
Dewan Negara diberitahu bahawa 2,207 orang rakyat Malaysia ditahan di lebih 50 negara atas pelbagai kesalahan sejak Januari hingga Nov tahun ini.
Kementerian Luar Negeri menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen memaklumkan bagi kes-kes sedemikian, perwakilan diplomatik Malaysia di luar negara akan membantu memastikan hak dan kebajikan tahanan warganegara Malaysia di luar negara sentiasa terjaga.
“Langkah-langkah yang boleh diambil oleh perwakilan diplomatik Malaysia di luar negara termasuk memaklumkan berita penahanan kepada waris terdekat di Malaysia, berkongsikan senarai firma guaman kepada subjek dan waris sebagai rujukan serta bantuan bagi mendapatkan khidmat guaman.
“Selain itu mereka juga menghadiri sesi perbicaraan, menyalurkan wang daripada waris kepada tahanan dan mengadakan lawatan konsular ke pusat-pusat tahanan secara berkala,” katanya bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Senator C. Sivaraj berhubung statistik terkini rakyat Malaysia ditahan di luar negara serta langkah diambil kerajaan untuk percepat proses bawa pulang.
Kementerian berkata selain itu sepanjang tahun ini sahaja 255 lawatan konsular secara berkala dan tidak berkala telah diadakan.
Bantuan yang diberikan oleh Pejabat Perwakilan Malaysia pula haruslah selaras dengan Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Konsular dan berpandukan Dasar Luar Malaysia, yang mana campur tangan dalam urusan perundangan sesebuah negara asing tidak boleh dilakukan dan undang-undang yang diguna pakai oleh negara tuan rumah perlu dihormati.