Adakah peningkatan hukuman satu-satunya penyelesaian kepada buli siber?

Pindaan terkini kepada Penal Code (Amendment) (No. 2) Bill 2024 memang langkah signifikan untuk menangani buli siber dengan lebih berkesan. Dalam konteks ini, Peguambela Kogilavani Vadivelu berpendapat bahawa pindaan ini perlu melindungi mangsa dan memperkukuhkan kuasa undang-undang untuk menangani isu ini dengan lebih tegas.

S: Apakah pendapat anda mengenai pindaan Penal Code (Amendment) (No 2) Bill 2024 yang telah dibentangkan di Parlimen?

Kokila  : Pindaan yang memperkenalkan hukuman yang lebih berat, termasuk denda yang dinaikkan daripada RM50,000 kepada RM500,000, memang dilihat sebagai langkah positif untuk memberi amaran yang lebih tegas kepada pelaku jenayah siber, termasuk pembuli siber. Namun, seperti yang anda nyatakan, persoalan utama adalah bagaimana untuk menentukan tahap keseriusan sebuah kesalahan, dan siapa yang akan membuat keputusan itu.

Meskipun pindaan ini meningkatkan denda, ia memberi fleksibiliti kepada mahkamah untuk menilai dan menentukan tahap keseriusan berdasarkan situasi setiap kes. Ini menunjukkan bahawa proses perundangan perlu memastikan bahawa penghakiman adalah adil dan berdasarkan bukti yang kukuh.

Namun, untuk pindaan ini benar-benar efektif, penting juga untuk memastikan bahawa pihak berkuasa yang menguatkuasa undang-undang dilengkapi dengan pengetahuan dan keupayaan untuk menangani kes-kes buli siber dengan cekap.

S: Apakah pendapat anda tentang buli siber yang sering meningkat di Malaysia?

Kokila : Rangka kerja undang-undang yang betul adalah sangat penting untuk mencegah dan menangani buli siber secara berkesan. Dengan kemajuan pesat teknologi dan penggunaan media sosial yang semakin meluas, buli siber menjadi salah satu cabaran terbesar dalam masyarakat moden. Undang-undang yang tidak mencukupi atau tidak jelas boleh menyebabkan kesukaran dalam mendakwa pelaku dan melindungi mangsa.

Sebagai contoh, apabila seseorang itu dijatuhkan hukuman sebanyak RM 100, ramai yang beranggapan bahawa buli siber tidak dianggap serius oleh sistem perundangan, walaupun kesannya terhadap mangsa boleh sangat serius. Ini tidak betul. Mahkamah hanya boleh bertindak atas dasar undang-undang yang sedia ada.

Mengikut amalan di banyak negara, termasuk Malaysia, jika pesalah mengaku bersalah pada peringkat awal, hukuman mereka boleh dikurangkan sebanyak satu pertiga sebagai sebahagian daripada proses mitigasi hukuman. Ini juga memberi peluang kepada pesalah untuk menunjukkan penyesalan dan kesediaan mereka untuk bertanggungjawab atas tindakan mereka, yang boleh dilihat sebagai faktor yang meringankan.

S : Apakah yang harus kita lakukan untuk membawa pelaku / pembuli siber ke muka pengadilan ?

Kokila : Memastikan kesamarataan di bawah undang-undang adalah asas kepada keadilan. Dalam konteks buli siber, pindaan terhadap undang-undang sedia ada memang perlu dilakukan dengan penuh penelitian. Ini kerana kesan buli siber terhadap individu dan masyarakat sangat serius, dan undang-undang harus relevan untuk menangani cabaran semasa, terutama dengan kemajuan teknologi.

Undang-undang yang diluluskan di Parlimen baru-baru ini mesti bersifat proaktif dan berfikiran ke hadapan, terutama dalam isu buli siber yang semakin kompleks. Penting untuk kita mempunyai penalti yang jelas untuk memastikan undang-undang itu berkesan sebagai pencegah jenayah.

S: pada pendapat anda bagaimana kita boleh mengatasi masalah buli siber ini ?

Kokila : Untuk mengatasi buli dalam talian memerlukan kerjasama kolektif daripada semua pihak, bukan hanya tanggungjawab polis atau kementerian semata-mata. Setiap individu, sebagai pengguna media sosial, memainkan peranan penting dalam mencegah dan menangani masalah ini.

Fikirkanlah sebelum memuat naik sesuatu yang boleh menyakitkan hati atau menjejaskan orang lain. Elakan juga menjadi seorang penyokong pembuli dengan memberi komen negatif, berkongsi atau ‘like’ kandungan yang menghina orang lain. Kita sebagai orang dewasa harus teladan kepada anak-anak kita dengan menunjukkan tingkah laku bertanggungjawab dalam menggunakan media sosial.

Selain ini, jangan sebarkan foto atau mesej buruk tentang mangsa buli, kerana ini boleh menambah trauma yang mereka alami dan membuka ruang untuk lebih banyak penghinaan atau kecaman daripada orang lain. Sebagai masyarakat yang prihatin, kita perlu lebih berhati-hati dan sensitif terhadap mangsa.

Kalau kita tak nak benda sebegini berlaku dekat kita jangan kita lakukan kepada orang lain. Jadilah warga prihatin di media social.

 

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here