Ular tedung selar dalam mesin basuh

Sik, Dis-
Anggota bomba mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan seekor ular tedung selar yang bersembunyi dalam mesin basuh di sebuah rumah di Kampung Paya Terendam, di sini semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kehadiran ular itu pada jam 3.33 petang semalam.

Beliau berkata, sepasukan anggotanya yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Sam Khan a/l Prak Prom Keu bersama enam anggota tiba di lokasi tidak lama kemudian.

Zulkhairi berkata, pasukan bomba bertindak mengalihkan mesin bagi mengeluarkan ular dan operasi dilakukan dengan berhati-hati untuk mengelakkan peralatan elektrik itu menjadi rosak dan ular berjaya ditangkap menggunakan penjerut.

Beliau berkata, patukan ular tedung selar itu boleh mengancam nyawa manusia dengan cepat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here