TNB cadang naik tarif elektrik

Kuala Lumpur, Dis-

Jadual tarif baharu dengan tarif asas 45.62 sen sekilowatt-jam (KwJ) bagi Semenanjung Malaysia di bawah Tempoh Kawal Selia 4 (RP4) dicadang dilaksanakan mulai 1 Julai, 2025, kata Tenaga Nasional Bhd (TNB).

Di bawah Tempoh Kawal Selia 3 (RP3) antara 2022 dan 2024, tarif asas ditetapkan pada 39.95 sen/kWj.

TNB menerusi makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata sebarang perbezaan dari Januari hingga Jun 2025 akan dibiayai melalui Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE).

“Jadual tarif elektrik semasa yang dilaksanakan sejak 2014, akan terus berkuat kuasa, tanpa perubahan dalam kadar tarif dan struktur tarif elektrik sehingga 30 Jun, 2025,” katanya.

TNB berkata kadar pulangan kawal selia dikekalkan pada 7.3% seperti di bawah RP3 dan ini akan membolehkan firma utiliti itu membuat pelaburan penting dalam industri, memastikan bekalan elektrik yang terjamin dan berterusan untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Menurutnya, kos penjanaan kekal sebagai komponen terbesar tarif elektrik, dengan gas dan arang batu terus menjadi sumber bahan api utama untuk penjanaan elektrik sepanjang tempoh ini.

“Sebarang kos penjanaan tambahan hasil daripada harga bahan api yang lebih tinggi untuk bekalan elektrik akan dilepaskan melalui mekanisme Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT).

“TNB kekal neutral dalam hal ini dan tidak akan ada kesan ke atas operasi perniagaan atau kedudukan kewangan syarikat,” katanya.

Baru-baru ini, kerajaan meluluskan pelaksanaan RP4 di bawah rangka kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) dari Januari 2025 hingga Disember 2027.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here