Bomba selamatkan budak jatuh longkang

Kajang, Jan-
Seorang kanak-kanak lelaki berjaya diselamatkan selepas terjatuh ke dalam longkang dan dihanyutkan arus deras di Jalan Kajang Perdana 8, Taman Kajang Perdana, di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata terdahulu pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang dikerahkan ke lokasi sejurus menerima panggilan mengenai insiden berkenaan pada jam 6.32 petang tadi.

Beliau berkata, kejadian berlaku apabila kanak-kanak berusia sembilan tahun itu dipercayai cuba mengambil bola di dalam longkang berkenaan sebelum terjatuh dan dihanyutkan arus deras.

“Kanak-kanak itu kemudian ditemui di longkang bawah tanah sedalam 7.62 meter,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pasukan bomba yang segera melakukan kerja menyelamat mangsa akhirnya berjaya membawa naik kanak-kanak itu sekitar jam 7.29 malam.

Katanya, mangsa yang dilaporkan mengalami kecederaan ringan dan berada dalam keadaan lemah kemudian dibawa oleh pasukan perubatan untuk menerima rawatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here