Ipoh, Apr.
Suspek kes langgar lari yang menyebabkan dua beradik maut ketika dalam perjalanan ke sekolah di Kilometer 38.9 Jalan Ipoh – Kuala Kangsar, berhampiran Taman Desa Salak, Sungai Siput, semalam, direman empat hari sehingga Selasa.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintenden Mohamad Khaizam Ahmad Shahabudin yang mengesahkan perkara itu berkata, proses reman dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh hari ini.
Terdahulu, kenderaan polis yang membawa suspek tiba di IPD Ipoh kira-kira jam 10 pagi dan suspek dibawa masuk ke dalam bilik untuk proses reman pada jam 10.30 pagi.
Suspek yang berpakaian serba hitam itu kemudiannya dibawa keluar kira-kira jam 10.50 pagi.
Semalam, dua beradik yang dalam perjalanan ke sekolah maut selepas motosikal yang dinaiki terlibat dalam nahas langgar lari di Kilometer 38.9 Jalan Ipoh-Kuala Kangsar berhampiran dengan simpang Taman Desa Salak, kira-kira jam 7.12 pagi.




















