Hulu Selangor,Jan-
Seorang lelaki warga Pakistan yang merempuh mati penunggang motosikal dekat lampu isyarat Jalan Azalea 1/1 Sungai Choh, Serendah di sini kelmarin, direman selama empat hari.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim, berkata pemandu kereta Proton Wira berusia 50 tahun itu ditahan bagi membolehkan siasatan lanjut diteruskan.
“Dia direman selama empat hari bermula semalam,” katanya ringkas ketika dihubungi, hari ini. Ahmad Faizal memaklumkan, lelaki warga asing itu mempunyai lesen memandu dan dalam perjalanan pulang ke Bukit Rawang Jaya selepas bertemu dengan rakannya di kilang Perodua.
Terdahulu, seorang penunggang motosikal berusia 48 tahun yang meneruskan perjalanan selepas lampu isyarat bertukar hijau tercampak ke tepi jalan selepas dirempuh kereta.
Insiden itu dirakam kamera papan pemuka kenderaan atau dashcam sebuah kenderaan yang mengekori mangsa dari belakang.