8 MP AMANAH berpegang dengan keputusan Majlis Presiden, kata Khalid

Tindakan lapan ahli Parlimen AMANAH bertindak bangun untuk memohon undi belah bahagi di Parlimen semalam adalah berdasarkan keputusan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan sebelum penggulungan Menteri Kewangan semalam yang menolak Belanjawan 2021.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abd Samad berkata, ini kerana mereka yakin, penggulungan yang dibuat oleh Menteri Kewangan yang menerima desakan mereka sebelum ini tanpa angka-angka yang jelas ada putar belit dan pembohongan berlaku.

Ini kerana, katanya, apa yang berlaku adalah Menteri Kewangan hanya meminta imput dari mereka tetapi tidak pernah membincangkan apa yang patut dilakukan sehinggalah penggulungan oleh Menteri Kewangan semalam.

Atas dasar itulah, selepas Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar memohon undi belah bahagi dibuat, tujuh MP AMANAH bangun menyokongnya.

“Itu pendirian kami dan kami hormati pendirian PKR, DAP dan lain-lain dalam Dewan yang tidak menyokong undi belah bahagi ini,” kata Khalid.

Empat MP Pejuang dan seorang MP dari Parti Sarawak Bersatu (PSB) iaitu Baru Bian menjadikan 13 MP yang menyokong permohonan undi belah bahagi itu.

Namun permohonan Mahfuz itu tidak mencukupi 15 MP yang perlu untuk undi belah bahagi dilakukan, kata Khalid dalam bualbicara beliau di Jom Chanel malam tadi.

Belanjawan 2021 diluluskan pada peringkat dasar semalam selepas diundi secara suara sahaja bukan belah bahagi selepas permohonan belah bahagi ditolak kerana tidak cukup sokongan 15 MP yang diperlukan.

Di satu pihak lagi pula, kata Khalid, Pengerusi PH yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berbincang dengan Presiden AMANAH Mohamad Sabu dan Setiausaha Agong DAP, Lim Guan Eng yang duduk bersebelahan di Dewan Rakyat, memutuskan agar tidak dibuat undi belah bahagi.

“Hujjahnya mereka bimbang jika kita tolak belanjawan ini di peringkat dasar secara undi belah bahagi, orang ramai akan berpendapat kita tolak belanjawan secara keseluruhan sedangkan ada kebaikan untuk rakyat.

“Jadi kita akan tolak semasa undi di peringkat jawatankuasa. Mana-mana keputusan peringkat kementerian yang kita tidak setuju, kita akan tolak,” jelas Khalid.

Menurut Khalid, atas dasar itu dan menghormati Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar, mereka tidak bangun untuk menyokong undi belah bahagi.

Khalid mengaku, beliau dan semua MP PH menerima mesej menerusi aplikasi Whatsapp selepas penggulungan Mengteri Kewangan untuk tidak mengadakan undi belah bahagi.

“Tetapi perangai kami AMANAH ni dari dulu tidak boleh dengar dan patuh tanpa alasan yang kami faham, jadi kami tidak ikut.

“Sebab itu, dahulu mereka kata kami ini kuda tunggangan DAP, ikut DAP. Tidak begitu sebenarnya. Buktinya sekarang DAP tak sokong, kami sokong undi belah bahagi.

“Apabila berlaku semalam, mereka tuduh kami ikut Atok pula, ikut Tun Dr Mahathir. Padahal Tun Mahathir yang ikut cadangan dari AMANAH iaitu Mahfuz,” jelas Khalid.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here