Putrajaya, Jan-
Najib Razak mendapat kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi membuktikan kewujudan titah adendum yang membenarkannya menjalani baki tempoh penjara bawah tahanan rumah.
Dalam keputusan berbelah bahagi, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan juga membenarkan permohonan bekas perdana menteri untuk mengemukakan bukti baharu apabila merit kes dibicarakan di Mahkamah Tinggi.
Hakim Firuz Jaffril berkata Najib telah memenuhi kriteria seperti mana disebut dalam Ladd & Marshall untuk mengemukakan bukti baharu.
Beliau juga menyatakan bahawa Najib telah menulis kepada enam responden mengenai titah adendum yang didakwa wujud itu namun tiada jawapan daripada mereka.
Enam responden itu ialah menteri dalam negeri, komisioner jeneral penjara, peguam negara, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, menteri di Jabatan Perdana Menteri (undang-undang dan reformasi institusi) dan ketua pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri.
Selepas keputusan Mahkamah Tinggi pada Julai, Firuz berkata, Najib telah memperoleh salinan titah adendum daripada Sultan Pahang, yang merupakan Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Beliau menambah bahawa kerajaan tidak memberikan bukti sanggahan yang kukuh.




















