Kuala Lumpur, Jan-
Obesiti dikalangan kanak-kanak memberikan implikasi serius kepada daya saing ekonomi negara dan boleh mengakibatkan penurunan produktiviti jika tidak ditangani segera.
Pakar perubatan kesihatan awam dari Universiti Putra Malaysia, Dr Norliza Ahmad, berkata kanak-kanak yang mengalami obesiti berisiko tinggi menghidap pelbagai penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis, hipertensi, jantung, dan kanser apabila dewasa.
Katanya, komplikasi penyakit juga boleh mendatangkan kesan kepada kualiti dan keupayaan untuk memberikan hasil kerja yang optimum.
“Penyakit ini memerlukan rawatan berkala dan boleh menyumbang kepada penurunan produktiviti mereka,” katanya kepada FMT.
Beliau turut mengingatkan, statistik menunjukkan prevalen obesiti dalam kalangan kanak-kanak berada pada tahap membimbangkan.
Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022, sebanyak 16.2% kanak-kanak berusia 10 hingga 19 tahun memiliki berat badan berlebihan, manakala 14.3% mengalami obesiti.
“Malaysia mencatatkan kadar obesiti kanak-kanak tertinggi di Asia Tenggara,” katanya.
“Kos rawatan penyakit berkaitan obesiti memberi tekanan besar kepada sistem kesihatan awam kerana ia melibatkan perbelanjaan tinggi,” katanya.
Laporan Kementerian Kesihatan menunjukkan kos rawatan untuk diabetes sahaja mencecah RM4.38 bilion, manakala penyakit jantung dan kanser masing-masing menelan RM3.93 bilion dan RM1.34 bilion.