Batu kuari melayang hempap bumbung rumah

Sungai Buloh, Jan-:
Lebih 500 penduduk Kejiranan Dahlia, Desa Bukit Indah dekat sini meminta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pelbagai permasalahan berpunca dari operasi lombong kuari berhampiran kediaman mereka.

Penduduk mendakwa mereka berdepan masalah pencemaran bunyi selain risiko keselamatan, merujuk bunyi kuat ledakan bahan peletup dari lombong didakwa terletak kira-kira 500 meter daripada kediaman orang ramai.

Pengerusi Persatuan Kejiranan Dahlia Zuhairi Zakaria mendakwa penduduk hidup dalam ketakutan sejak 2015 sekiranya berlaku tanah runtuh, banjir lumpur selain serpihan batu kuari melayang dan menghempap bumbung rumah.

“Pernah (2024) batu hempap bumbung rumah, pecah dan jatuh atas katil, mujur tiada orang ketika itu.“Kalau tidak sudah pasti babit keselamatan serta nyawa manusia,” katanya kepada FMT sambil mengakui operasi lombong di Hutan Simpan Bukit Lagong itu telah bermula sebelum mereka menetap di perumahan terbabit sejak 10 tahun lalu.

Zuhairi berkata mereka akur dengan kelulusan itu namun meminta pihak berkuasa memantau operasi kuari supaya mematuhi garis panduan, selain kerap mengadakan dialog dengan penduduk.

“Penduduk rugi kerana harta benda rosak, kami bimbang ia berulang memandangkan aliran anak sungai itu kini berubah dan mengalir ke kawasan rumah dan masuk ke longkang perumahan. Ini tidak patut terjadi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here