Kuala Lumpur, Jan-
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Pertama (D.K.1) kepada Presiden Indonesia Prabowo Subianto.
Menerusi catatan di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, pengurniaan D.K.1 kepada Prabowo berlangsung di Istana Negara dan disaksikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Yang Mulia Bapak Prabowo merupakan sahabat karib Seri Paduka Baginda yang dikenali lebih 40 tahun, sejak zaman latihan ketenteraan di Amerika Syarikat pada 1980-an,” menurut catatan itu.
Terdahulu, presiden Indonesia diberikan sambutan negara penuh istiadat di Istana Negara.
Prabowo tiba di Malaysia hari ini bagi memulakan lawatan negara atas jemputan Yang di-Pertuan Agong.
Ia adalah lawatan negara yang pertama oleh seorang ketua negara asing ke Malaysia sejak Sultan Ibrahim menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.
Selain itu, ia juga merupakan lawatan negara pertama oleh Prabowo ke negara Asia Tenggara sejak pelantikannya sebagai presiden Indonesia pada 20 Okt 2024.




















