Dungun, Jan-
Seorang lelaki parah selepas bergelut dengan beruang yang menyerangnya di Ladang Sawit di Kampung Telembuh Jerangau Sungai, pagi semalam.
Dalam kejadian jam 11 pagi, Nik Azhar Daud, 40, dilaporkan cedera di belakang kepala, tengkuk, kaki, dan lengan kanan, kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.
Isteri mangsa, Roshuhaida Mokhtar, 39, berkata ketika kejadian, suaminya pergi ke kawasan ladang terbabit untuk memeriksa kerbaunya ditambat di situ. Ladang itu tidak jauh dari Lebuh Raya Pantai Timur Dua (LPT2).
“Suami beritahu ketika duduk berehat minum air, secara tiba-tiba seekor beruang hitam datang dari arah belakang menyerang dan menggigit tengkuk suami,” katanya.
Ketika bergelut dengan beruang itu, suaminya sempat mengambil pisau di pinggangnya dan beberapa kali menikam beruang itu.




















