Kuala Lumpur, Feb-
Beberapa jalan utama dan laluan sekitar ibu kota akan ditutup dan dilencongkan sementara, pada Ahad dan Rabu ini untuk upacara perarakan chariot sempena perayaan Thaipusam yang akan disambut, Selasa depan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata perarakan chariot akan bermula dari Kuil Sri Maha Mariamman di Jalan Tun H S Lee pada jam 9 malam.
Katanya, perarakan dijangka berakhir pada Isnin ini pada jam 4 petang di Kuil Sri Subramaniar, Batu Caves, Selangor.
“Perarakan balik akan bermula pada 12 Februari (Rabu) pada jam 3 petang melalui laluan yang sama.
“Susulan itu, beberapa jalan utama dan laluan sekitar pusat bandar akan ditutup dan dilencongkan untuk melancarkan pergerakan perarakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurut Rusdi, laluan yang terbabit bagi perjalanan pergi dan balik adalah
Jalan Tun H S Lee ke Jalan Sultan; Jalan Tun Tan Cheng Lock; Jalan Pudu; Jalan Tun Perak; Jalan Lebuh Ampang; Jalan Ampang; Jalan Munshi Abdullah; Jalan Dang Wangi; Jalan Raja Laut; Jalan Belia; Jalan Sri Amar dan Jalan Raja Laut.
Seterusnya, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Tun Razak (U- turn); Jalan Tun Razak; Jalan Sultan Azlan Shah; Jalan Ipoh Lama (Batu 5); Jalan Kampung Batu; Jalan Kepong Baru; Bulatan Ipoh; Jalan Ipoh (KL) (arah bertentangan); Bulatan Batu Caves (arah bertentangan dari MRR2) ke susur MRR2 Batu Caves (melalui laluan bertentangan dan lintasan khas).
“Polis Kuala Lumpur menasihatkan semua pengguna jalan raya, khususnya warga ibu kota, agar merancang perjalananan dan elakkan dari melalui laluan yang terbabit dengan penutupan dan lencongan.
“Mereka juga dinasihatkan untuk mematuhi arahan anggota polis yang bertugas bagi memastikan kelancaran lalu lintas,” katanya.