Garis panduan: PM akan bawa hasil mesyuarat Kabinet kepada pengerusi MKI

Gombak. Feb-
Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan membawa hasil mesyuarat Jemaah Menteri berhubung garis panduan bagi majlis melibatkan umat Islam di rumah ibadat bukan Islam kepada pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).

MKI dipengerusikan oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

“Ini telah diputuskan oleh mesyuarat Jemaah Menteri dan saya akan persembahkan kepada Sultan Nazrin,” katanya kepada pemberita di majlis komuniti India di dewan sebuah kuil di Batu Caves.

Ditanya pendapat beliau berhubung garis panduan tersebut, Anwar menjawab: “Saya berpendapat tidak perlu kerana orang Islam tahu garis dia.”Tambahnya, wakil rakyat bukan beragama Islam turut diundang ke majlis anjuran orang Islam, mengambil contoh Menteri Digital Gobind Singh Deo.

“Macam saya datang hari ini, saya bukan masuk ke upacara agama. Gobind sering ke masjid di kawasan dia tapi tidak ke upacara agama. Jadi kita biasa. Jangan persulitkan.

“Jangan menimbulkan kerisauan dalam masyarakat. Ini saya nak tegaskan keputusan muktamad Jemaah Menteri pagi tadi,” katanya.

Hari ini, Jemaah Menteri dalam mesyuarat membincangkan garis panduan tersebut, mengingatkan setiap dasar yang dirangka perlu ambil kira aspek perpaduan nasional, serta mendapatkan kelulusan Jemaah Menteri terlebih dahulu.

Jemaah Menteri juga bersetuju Jabatan Kemajuan Islam Malaysia boleh memberikan nasihat kepada orang Islam berkaitan keperluan menjaga akidah umat Islam berhubung perkara ini, namun nasihat tersebut tidak bersifat dasar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here