Kuala Lumpur, Mac-
Penyampai radio 3 Pagi Era memohon maaf di atas video kontorversi mempersenda tarian kavadi Hindu, upacara suci dilakukan ketika Thaipusam kepada Dewa Murugan.
Video berkenaan yang telah diturunkan dalam platform media sosial stesen itu, memaparkan seorang penyampai meniru tarian kavadi, sambil menyebut “Vel Vel” disusuli gelak tawa.
Klip tersebut mengundang kritikan meluas dengan kebanyakan ia berupa penghinaan kepada tradisi Hindu.
Dalam hantaran di akaun Instagram Era FM, Nabil Ahmad, Azad Jasmin, dan Radin Amir Affendi Ahmad Aruani memohon maaf atas video tersebut dan mengakui ia tidak sensitif, terutama kepada berbangsa India.
“Kami tidak pernah berniat untuk menyinggung mana-mana pihak, dan kami amat menghormati kepercayaan serta nilai setiap individu. Kami akan lebih berhati-hati di masa hadapan,” kata hantaran itu.
“Kami juga sentiasa terbuka untuk menerima segala komen dan kritikan untuk memperbaiki diri kami terutama daripada pendengar setia ERA. Sekali lagi, kami menyusun jari memohon maaf di atas kesilapan tanpa sedar yang kami lakukan. Maafkan kami.”
Video terbabit mencetuskan reaksi keras daripada Timbalan Presiden MIC yang juga Ahli Parlimen Tapah, M Saravanan, yang menuntut permohonan maaf terbuka termasuk menyeru kerajaan mengambil tindakan terhadap stesen radio Era FM.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, berkata pihaknya telah menerima aduan daripada pelbagai pihak berhubung tindakan kakitangan sebuah stesen radio.
“Saya telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjalankan siasatan terperinci, termasuk memanggil pihak Astro serta pengurusan stesen radio tersebut untuk hadir ke ibu pejabat SKMM bagi memberikan penjelasan penuh.
“Ini bertujuan untuk memastikan tindakan yang boleh diambil berdasarkan peraturan dan undang-undang sedia ada,” katanya dalam kenyataan.



















