Sungai Petani, Mac-
Seorang bayi perempuan dipercayai baru lahir ditemui dalam sebuah beg di garaj kereta di hadapan sebuah rumah penduduk di Taman Semarak, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, polis menerima laporan berhubung penemuan bayi itu jam 11.39 pagi.
Beliau berkata, ketika ditemui, bayi perempuan itu masih bertali pusat dan diletakkan dalam sebuah beg di lantai garaj kereta rumah berkenaan.
“Pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati tiada kamera rakaman litar tertutup (CCTV) ditemui di sekitar lokasi terbabit dan tiada saksi yang nampak suspek meninggalkan tempat kejadian.
“Saksi memaklumkan hanya mendengar tangisan bayi jam 11 pagi dari beg berkenaan, selepas membukanya didapati seorang bayi dalam keadaan bogel,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Wan Azharuddin berkata, wanita itu menghubungi polis dan menutup bayi berkenaan dengan sehelai lampin dan tuala disebabkan bayi perempuan itu kesejukan.
“Ketika ditemui, bayi itu dalam keadaan sihat dan bersih serta tiada sebarang kesan kecederaan.
“Bayi itu kemudian dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk pemeriksaan kesihatan.

























