Tujuh hektar Hutan Simpan Bukit Tinggi diteroka secara haram

Lebih tujuh hektar tanah di kawasan Hutan Simpan Bukit Tinggi (Tambahan) di Bentong diteroka secara haram bagi tujuan pertanian.

Pegawai Pejabat Hutan Daerah (PHD) Bentong, Haffiz Baharuddin berkata, penerokaan tanah dikesan selepas penahanan dua lelaki tempatan oleh anggota dari Unit Penguatkuasa PHD Bentong bersama Pasukan Renjer Bentong Barat, minggu lalu.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati kawasan yang diceroboh itu digunakan untuk penanaman pisang dan durian oleh beberapa individu termasuk dua yang telah ditahan pihaknya.

“Dua lelaki ditahan berusia 48 dan 72 tahun ketika mereka melakukan aktiviti pertanian di kawasan hutan simpan itu.

“Pihak kita juga telah menyita dua motosikal milik dua individu terbabit termasuk hasil tanaman pisang dan durian yang cuba dipindahkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, penerokaan kawasan hutan itu boleh mengundang berlakunya tanah runtuh kerana ia terletak bersebelahan dengan Kampung Bukit Ringgi dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak.

Disebabkan itu katanya, pihaknya segera membuat siasatan selepas menerima aduan daripada orang ramai berhubung wujudnya penerokaan tanah haram di kawasan tersebut.

Haffiz menambah, penahanan dua individu itu diharap dapat memberi pengajaran kepada penduduk tempatan terutama di Kampung Bukit Tinggi bahawa perbuatan menceroboh kawasan hutan simpan adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan perundangan.

“Kita akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang menceroboh hutan simpan di daerah ini, sebagai bukti ketegasan PHD Bentong membendung perbuatan tidak bertanggungjawab sesetengah pihak yang degil dan tamak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, operasi pemusnahan tanaman sedia ada akan dilakukan segera.

Katanya, selepas pemusnahan tanaman dilakukan, pihaknya akan menanam semula pokok balak yang sesuai di kawasan ceroboh bagi mengembalikan ekosistem di kawasan hutan simpanan itu.

“Selepas ini, pihak kita akan melakukan lebih banyak operasi penguatkuasaan terutama membabitkan kawasan hutan simpan dan tanah kerajaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here