Kuala Lumpur, Mac–
Serangan siber terhadap Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) yang menyasarkan sistem Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengakibatkan gangguan selama lebih 10 jam pada Ahad lepas, sekali gus menjejaskan operasi penerbangan dengan ribuan penumpang terkandas.
Serangan itu menyebabkan pelbagai masalah, termasuklah pengendalian bagasi yang tidak dapat berfungsi hingga memaksa kakitangan lapangan terbang dan syarikat penerbangan beralih kepada operasi manual.
Laporan yang merujuk sumber tidak didedahkan itu juga mendakwa gangguan ini bercanggah dengan kenyataan bersama Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan MAHB sebelum ini bahawa insiden tersebut tidak menjejaskan operasi di lapangan terbang itu.
Sumber dipetik NST tersebut mendakwa, siasatan awal menunjukkan pencerobohan siber telah menjejaskan sistem kritikal KLIA, menyebabkan gangguan berpanjangan.
“Bagaimanapun, pihak berkuasa masih belum mengesahkan bentuk serangan atau mengenal pasti pihak bertanggungjawab,” kata sumber itu.
Gangguan ini dikatakan turut memberi kesan kepada jadual penerbangan dengan banyak kelewatan dilaporkan sepanjang hari.



















