Ipoh, Apr-
Tujuh sekeluarga yang sedang beriadah di Lata Batu Hampar, Kuala Kangsar berdepan detik cemas apabila terperangkap ancaman kepala air sebelum diselamatkan sepasukan bomba petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata panggilan kecemasan diterima pada 3.54 petang.
Katanya, anggota penyelamat bergerak menggunakan kenderaan utiliti ke lokasi disebabkan laluan berkenaan tidak dapat diakses dengan jentera berat.
“Setibanya di tempat kejadian, mangsa berjaya ditemui dan didapati semua berada dalam keadaan selamat.
“Tindakan ketua operasi mengarahkan anggota membuat kerja-kerja menggunakan tali penyelamat dengan menggunakan dua batang pokok sebagai pengukuh (anchor) bagi menyeberangi sungai anggaran lebar 10 kaki dan sedalam 1.2 meter dalam,” katanya dalam satu kenyataan.
Sabarodzi berkata semua mangsa menyeberangi sungai dengan memakai peranti pengapungan peribadi dan dikawal oleh anggota penyelamat sehingga selesai dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.






















