Kuala Lumpur, Apr-
Seramai 27 mangsa insiden kebakaran akibat letupan gas menerima penggantian kad pengenalan, manakala 86 sijil kelahiran turut dikeluarkan semula menerusi operasi khas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), hari ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, operasi yang bermula seawal 9 pagi itu dilaksanakan menerusi pasukan operasi bas MEKAR (Menyemai Kasih Rakyat) JPN.
Menurut beliau, inisiatif penggantian dokumen pengenalan diri ini akan diteruskan sehingga Ahad, 6 April ini, bagi memudahkan semua mangsa yang terlibat dalam kejadian tersebut.
“Bas MEKAR akan meneruskan operasi esok bermula jam 9 pagi, manakala pada hujung minggu ini, JPN akan menyediakan van MEKAR bagi tujuan yang sama.
“Jadi, bagi mangsa yang berada di kampung semasa kejadian dan baru pulang ke PPS, mereka masih boleh mendapatkan penggantian dokumen menerusi inisiatif MEKAR sehingga hujung minggu,” katanya dalam kenyataan.





















