Shah Alam, Apr-
Sebanyak 81 rumah yang mengalami kerosakan melebihi 40 peratus akibat kebakaran dan letupan paip gas di Putra Heights dalam proses penilaian oleh jawatankuasa pemulihan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penilaian itu akan melibatkan jabatan teknikal seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menentukan tahap kerosakan serta jumlah bantuan yang sesuai.
Bagaimanapun, beliau berkata, penilaian itu akan mengambil sedikit masa dan perbincangan lanjut dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dijadualkan pada Isnin depan.
“Setelah itu, jawatankuasa pemulihan akan melakukan pemeriksaan untuk setiap rumah yang terjejas.
“Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha pemulihan yang lebih besar bagi memastikan mangsa terlibat mendapat bantuan dan sokongan sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar di Dewan Annex, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Shah Alam di sini pada Rabu.





















