Kuala Lumpur, Mei-
“Harga ubat-ubatan di farmasi komuniti didapati lebih murah berbanding di klinik swasta,” kata Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Amrahi Buang.
Katanya, penjelasan itu berdasarkan pengalaman pesakit atau pengguna yang menggunakan ‘duit poket’ sendiri untuk membeli ubat. Berdasarkan pengalaman pengguna, rata-rata harga ubat-ubatan di farmasi komuniti adalah lebih murah berbanding di klinik-klinik swasta.
“Kebiasaannya, tiada bil terperinci yang diberikan di klinik swasta kepada pesakit. Apa yang dicaj adalah satu amaun sahaja yang perlu dibayar oleh pesakit selepas rawatan diberikan.
“Jika menggunakan kad perubatan atau insurans, pesakit tidak akan tahu kerana tuntutan ke syarikat akan dibuat oleh klinik-klinik swasta.
“(Dan ini adalah) persoalan yang sukar dijawab iaitu berapa kos yang terbabit untuk tuntutan berkenaan,” katanya kepada BH. Mengulas lanjut, Amhari berkata, amaun yang biasanya dikenakan klinik swasta mencakupi caj profesional doktor dan caj ubat-ubatan (bundling atau gabungan).




















