Pontian, Mei-
Pemandu lori yang disahkan positif dadah selepas terbabit kemalangan yang meragut nyawa dua beranak di Kilometer 34.1 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) di sini, malam kelmarin, direman selama empat hari.
Perintah tahanan reman terhadap lelaki berusia 39 tahun itu dikeluarkan Majistret Arina Azmin Ahmad Marzuki, bermula hari ini hingga 13 Mei.
Ia bagi membantu polis menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Semalam, Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee, dilaporkan berkata pemandu lori itu ditahan selepas didapati positif dadah hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan sejurus nahas membabitkan empat kenderaan kira-kira jam 11 malam.
Seng Lee dipetik berkata, hasil siasatan awal mendapati insiden berlaku apabila kenderaan berat membawa kontena muatan besi itu dipercayai hilang kawalan.
Beliau berkata, lori berkenaan dilaporkan merempuh sebuah Toyota Hilux di laluan sama dan melanggar besi pembahagi jalan sebelum memasuki laluan bertentangan serta merempuh dua lagi kenderaan jenis Toyota Estima dan Mazda.
Perlanggaran itu menyebabkan dua beranak yang menaiki Toyota Estima terbabit dikenali sebagai Gee Yin Chin, 42, dan Neo Jo Ee, 15, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Suami dan dua anak lelaki Yin Chin yang cedera pula dikejarkan ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim sebelum dirujuk ke sebuah hospital swasta.























