2 penyamun ditembak mati di Nilai

Kuala LumpurDua lelaki yang aktif melakukan jenayah samun, kekerasan dan pengedaran dadah ditembak mati dalam Op Api 3, di tempat letak kereta sebuah kondominium di Nilai, Negeri Sembilan, malam tadi.

Kedua-dua suspek berusia 29 tahun dan 40 tahun dikesan di kondominium berkenaan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan JSJ Kontinjen jam 10 malam, hasil maklumat dan risikan sebelum polis berusaha memberkas mereka.

Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata selepas menyedari kehadiran polis, suspek telah melepaskan tembakan sehingga memaksa polis melepaskan tembakan balas demi mempertahankan diri.

“Pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek yang memiliki dua pucuk pistol jenis semi auto dan sepucuk revolver yang digunakan mereka dalam kejadian berbalas tembak itu.

“Suspek ini adalah ahli kumpulan penjenayah bersenjata yang aktif melakukan samun pecah rumah, kilang dan pusat pengumpulan barangan parcel J&T, pengedaran dadah di Selangor, Negeri Sembilan dan Perak.

“Suspek berusia 29 tahun ini memiliki 11 rekod jenayah lampau manakala suspek berusia 40 tahun memiliki 76 rekod jenayah termasuk dikehendaki polis,” katanya.

Fadil berkata, akibat daripada kejadian berbalas tembak itu kenderaan dinaiki polis rosak akibat terkena tembakan namun tiada anggota yang cedera.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here