Putrajaya, Mei-
Sejumlah 50,940 kotak racun makhluk perosak dianggar bernilai RM147,726 yang disyaki tidak berdaftar dirampas dalam operasi dilancarkan Jabatan Pertanian bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Pelabuhan Utara Klang, Selangor, semalam.
Menurut Jabatan Pertanian, racun jenis Zenden Micro Smoke itu boleh membahayakan kesihatan pengguna, mencemarkan alam sekitar dan menjejaskan keselamatan makanan negara.
“Operasi diadakan di bawah Akta Racun Makhluk Perosak 1974 (Akta 149) sebagai usaha membanteras kemasukan dan pengedaran produk pertanian yang tidak sah.
“Serbuan ke atas sebuah kontena itu dijalankan sekitar jam 11.30 pagi diketuai Ketua Operasi Seksyen Penguat Kuasa, Bahagian Kawalan Racun Makhluk Perosak dan Baja (BKRPB), Jabatan Pertanian,” menurut kenyataan berkenaan.
Operasi turut disertai pegawai dari ibu pejabat jabatan itu di Putrajaya, selain penguat kuasa dari Selangor dan Johor serta pegawai risikan JKDM.
Kenyataan itu menambah, tindakan tegas berkenaan bukti komitmen berterusan Jabatan Pertanian dalam memastikan hanya produk racun makhluk perosak yang berdaftar dan selamat, digunakan dalam sektor pertanian.





















