Kuala Lumpur, Mei-
Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli mengumumkan sudah menghantar surat peletakan jawatan dari Jemaah Menteri kepada YAB Perdana Menteri.
Peletakan jawatan ini akan berkuat kuasa dari 17 Jun 2025. Bermula dari hari ini, beliau akan menghabiskan baki cuti tahunan sehingga 16 Jun 2025.
Saya menyertai politik untuk membudayakan politik baru yang berteraskan kebertanggungjawaban dan mandat rakyat. Kekalahan saya dalam pemilihan PKR baru-baru ini bermakna saya tidak lagi mempunyai mandat dari parti saya untuk menterjemahkan agenda rakyat yang digagaskan oleh PKR menjadi program kerajaan.
Seperti mana amalan di negara-negara yang menitik berat prinsip demokrasi, pemimpin yang kalah dalam pemilihan parti perlu memberi laluan kepada pemimpin yang menang mengambil tempat di dalam kerajaan.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan jutaan terima kasih kepada kepimpinan dan kakitangan Kementerian Ekonomi yang telah memberi dukungan penuh kepada saya sepanjang saya di sini.
“Saya telah melihat sendiri kecekapan dan kemampuan sebahagian besar penjawat awam di sini, yang berupaya merangka dasar dan disusuli dengan kerangka program yang berkesan,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Rafizi berkata, beliau yakin program-program untuk membaiki struktur ekonomi negara yang telah dipelopori oleh Kementerian Ekonomi akan terus dilaksanakan dengan jaya oleh penjawat-penjawat awam.
Amanah terakhir saya sebagai Menteri Ekonomi telah disempurnakan dengan penghasilan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang telah dimuktamadkan dan menunggu untuk dibentangkan di Parlimen dalam sidang yang seterusnya.
Pada 10 Mei lalu, Rafizi menyatakan kesediaan untuk meletak jawatan dalam Kabinet jika gagal mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden PKR.
Rafizi berkata, walaupun berundur daripada Kabinet, tugas sebagai Ahli Parlimen Pandan akan tetap diteruskan dan ketika itu, beliau bebas untuk berbicara dalam apa saja perkara.
























