Tren KTMB lewat lebih sejam akibat kabel curi

Sebagai langkah awal, KTMB membuat pemakluman kepada penumpang menerusi sistem pesanan ringkas dan platform media sosial rasminya.

Kuala Lumpur, Jun-
Kecurian kabel sistem semboyan dan komunikasi di tiga laluan utara Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) semalam menyebabkan kelewatan tren lebih 60 minit bagi perkhidmatan Komuter Utara dan tren elektrik (ETS).

KTMB dalam kenyataan memaklumkan antara lokasi terkesan ialah laluan Tapah Road-Sungkai (KM250.5) dengan anggaran kecurian kabel sepanjang 200m, diikuti kawasan Kamunting-Bukit Merah-Bagan Serai (KM87.25) sepanjang 110m serta kawasan Simpang Ampat-Bukit Mertajam (KM15.5) melibatkan 40m kabel.

Insiden itu menyebabkan perjalanan tren terjejas dengan kelewatan ketara 80 hingga 115 minit membabitkan EP9172 (KL Sentral-Butterworth), EG9321 (Butterworth-Segamat), ?EX9107 (Butterworth-KL Sentral), EX9207 (Padang Besar-KL Sentral) dan EG9420 (Segamat-Padang Besar).Selain itu, perkhidmatan KTM Komuter Utara laluan Ipoh-Butterworth-Ipoh turut terganggu dengan purata kelewatan 30 minit.

Menurut KTMB, sebagai langkah awal, pemakluman dibuat kepada penumpang menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) dan platform media sosial rasmi KTMB.

Ketua Pegawai Operasi KTMB, Mohd Zain Mat Taha dalam kenyataan sama memaklumkan kira-kira 45 kes kecurian kabel dicatatkan di sektor utara dari Januari hingga bulan lalu.

“Kecurian sebegini merupakan satu bentuk sabotaj terhadap infrastruktur rel yang boleh mengancam keselamatan ratusan penumpang serta melumpuhkan sistem pengangkutan awam.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here