Kuaka Kumpur, Jun-
Buruh warga Bangladesh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan memandu kereta secara melulu sehingga menyebabkan kematian seorang pejalan kaki, minggu lalu.
Atique Zaman, 39, didakwa memandu kereta jenis Nissan Sylphy berwarna hitam secara melulu sehingga menyebabkan kematian Muhammad Redzuan Jamal, 46, di Jalan Ipoh (berhadapan Masjid Abu Hurairah Kampung Batu) dari arah Sentul menghala Jinjang, pada 11.49 pagi, pada 13 Jun.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak melebihi RM50,000, selain hilang kelayakan memegang dan mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun, jika sabit kesalahan.
Majistret Khairunnisak Hassni membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia, berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan, dilarang mengganggu keluarga mangsa dan saksi pendakwaan serta lesen digantung sementara sehingga kes selesai.
Pada 13 Jun, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Mohd Zamzuri Isa, berkata Nissan Sylphy dipandu lelaki warga Bangladesh dari arah PPR Batu Muda, hilang kawalan dan melanggar bahagian hadapan kanan sebuah Toyota Camry dipandu wanita warga Vietnam berusia 43 tahun yang datang dari arah Batu Kentomen.
Katanya, Nissan Sylphy itu kemudian merempuh seorang pejalan kaki sebelum terjunam ke bawah jambatan dan tersangkut di celahan konkrit serta saluran paip besi.




















