Klang, Jun-
Sebuah kilang kitar semula musnah dalam kebakaran di Jalan Haji Abdul Manan, Taman Industri Meru di sini pada Rabu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.14 tengah hari.
Menurut beliau, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar tiba di lokasi kira-kira lima minit kemudian.
“Kebakaran melibatkan sebuah kilang berkeluasan 60×100 kaki persegi dan ketika pasukan bomba tiba, api sedang marak.
“Tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian ini setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, kejadian kebakaran kilang kitar semula itu tular di media sosial dengan beberapa video memaparkan kepulan asap tebal berwarna hitam menjulang tinggi ke udara dari kawasan kejadian.




















