Kuantan, Ogos-
Tiga lelaki warga Bangladesh maut dan dua cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang mereka naiki terbabas di Kilometer 200.8, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Satu, dekat Gambang, di sini, malam tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Mohd Adli Mat Daud, berkata siasatan awal mendapati nahas jam 7:30 malam dipercayai kerana kenderaan terbabit hilang kawalan dan terbabas ke kiri lebuh raya.
Menurutnya, ketika kejadian semua mangsa dalam perjalanan dari Kuantan ke Kuala Lumpur.
“Akibat Nahas itu, tiga mangsa terbunuh di tempat kejadian dan dua cedera.
“Siasatan mendapati pemandu MPV terbabit tiada lesen memandu serta cukai jalan kenderaan terbabit sudah tamat tempoh sejak Mei 2025,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mangsa yang terbunuh ialah pemandu MPV terbabit, Md Sabber Hasan, 30, dan penumpang Md Jahid Hasan, 21, dan seorang lagi hanya dikenali Abdullah, 24.



















