3 perompak Geng Centro ditembak mati

Kuantan, Mac.
Tiga penjenayah warga asing dikenali Geng Centro ditembak mati oleh polis di Kilometer 17 Jalan Pekan-Kuantan, malam tadi.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata tiga penjenayah yang mati itu masing-masing dua warga Vietnam dan seorang Bangladesh berumur antara 34 dan 44 tahun.

Operasi itu hasil kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Selangor dan Pahang yang mengesan sebuah kereta Proton Waja yang dilihat dalam keadaan mencurigakan di kawasan Lembaga Kemajuan Negeri Pahang, Pekan pada jam 11.30 malam.

“Polis kemudian memperkenalkan diri bagi tujuan pemeriksaan tetapi suspek memecut kenderaan. Kereta suspek menghimpit dan melanggar belakang kenderaan polis menyebabkan kenderaan itu berhenti. “Ketika hendak melakukan pemeriksaan suspek secara tiba-tiba melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis.

“Bagi mempertahankan diri, polis membalas tembakan sehingga tiga penjenayah dalam kereta tumpas,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, hari ini.

Pemeriksaan dalam kenderaan suspek menemukan sepucuk pistol jenis Glock 17 serta enam butir peluru dalam kelopak dan sebutir dalam kebuk serta tiga kelongsong peluru.

Pemeriksaan lanjut menemukan peralatan lain iaitu dua mesin pencanai, dua mesin penebuk, dua bilah parang, dua set nombor pendaftaran, satu kuku kambing dan tukul besi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here