Main ‘War Game’ guna senjata tiruan – 41 ditahan

Kuantan, Sep-
Seramai 41 lelaki ditahan selepas terlibat dalam permainan perang menggunakan senjata api tiruan jenis ‘Air Soft Gun’ di Padang Hangus, Gebeng, di Kuantan Ahad lalu.

Operasi khas Op Laras itu dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Pasukan D9 (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang dengan kerjasama unit khas Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kuantan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, serbuan bermula kira-kira pukul 3 petang mendapati 39 lelaki sedang mengikuti taklimat sebelum memulakan aktiviti ‘War Game’ di tanah rezab TLDM yang belum dibangunkan.

“Polis turut menahan dua lelaki lain di lokasi berasingan membabitkan pemandu Toyota Vellfire dan Proton X70 yang membawa pelbagai jenis senjata ‘airsoft’ serta aksesori taktikal.

“Antaranya 65 laras senapang, 32 pistol angin, 130 kelopak peluru, 28 vest, 40 helmet serta ‘goggle’, 22 bungkus peluru BB, 18 unit gas dan bateri serta 35 aksesori lain,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Kuantan, di sini hari ini.

Tambahnya, keseluruhan rampasan membabitkan 406 unit barangan tiruan dianggarkan bernilai RM100,000.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here