Ipoh, Sep–
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah bahawa perjanjian yang telah dipersetujui semasa negara mencapai kemerdekaan tidak boleh dipersoalkan sewenang-wenangnya.
Baginda bertitah, perkara itu tidak sepatutnya dibiarkan hanya disebabkan semakin terhakis sikap saling mempercayai dan menghormati antara satu sama lain serta dipengaruhi api perselisihan yang dinyalakan melalui retorik politik berasaskan kaum dan agama.
Jelas baginda, kemerdekaan tanah air diperoleh melalui rundingan dan diplomasi oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman yang berjaya mengikat persefahaman sehingga membangunkan sebuah Persekutuan Tanah Melayu yang warganya terdiri daripada pelbagai kaum, agama, budaya dan bahasa.
“Kesemuanya diberikan tempat dan jaminan perlindungan yang saksama sebagai warga dalam sebuah negara merdeka.
“Tidak ada yang terpinggir, tidak ada penyisihan dilakukan. Secara bijaksana, Yang Teramat Mulia Tuanku mengayam indah tradisi dalam modenisasi. Institusi Raja didaulatkan sebagai raja berpelembagaan dalam pemerintahan moden berteraskan demokrasi berparlimen,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah demikian ketika berangkat ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1447 Hijrah peringkat negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina di sini pada Khamis.
Keberangkatan baginda jam 9 malam itu diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim dan Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim.


















