Kerajaan tidak kompromi peniaga naikkan harga barang SARA

Kuala Lumpur, Sep-
Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menjejaskan manfaat yang sepatutnya dinikmati rakyat menerusi pelaksanaan inisiatif Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pihaknya mengambil maklum dengan beberapa hantaran melalui media sosial yang mendakwa terdapat segelintir peniaga menaikkan harga barangan.

“Sekiranya perkara ini berlaku, siasatan dan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 boleh dilaksanakan.

“Kerajaan Madani akan menyiasat aduan. Dalam masa yang sama, kerajaan menghargai inisiatif pasar raya dan kedai runcit yang menawarkan harga istimewa kepada penerima manfaat,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan.

Beliau juga menggalakkan orang ramai untuk membuat aduan rasmi kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk membolehkan siasatan segera dijalankan.

Aduan boleh dikemukakan melalui beberapa saluran KPDN seperti portal e-Aduan KPDN, iaitu https://eaduan.kpdn.gov.my/, talian WhatsApp 019-848 8000, atau pusat talian 1-800-886-800.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here