Ratusan pengunjung saksikan fenomena gerhana bulan penuh di Planetarium Negara
Kuala Lumpur, Sep- Hampir 500 pengunjung membanjiri Planetarium Negara di sini seawal 9 malam tadi bagi menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh atau blood moon dalam Program Pencerapan anjuran agensi berkenaan.
Bagaimanapun, fenomena itu tidak dapat dilihat sepenuhnya akibat cuaca kurang baik tetapi orang ramai masih berpeluang menyaksikan gerhana bulan penumbra sekitar 11.30 malam.
Gerhana bulan penumbra berlaku ketika fasa bulan penuh apabila cahaya bulan menjadi suram akibat terlindung oleh bumi. Fenomena ini sukar dilihat dengan mata kasar dan memerlukan bantuan teleskop yang dihalakan ke arah Timur.
Sebanyak lima teleskop disediakan termasuk satu khusus bagi siaran langsung di media sosial rasmi Planetarium Negara.




















