Tanjung Malim, Sep-
Keadaan banjir di beberapa kawasan dalam daerah Muallim dilaporkan semakin memburuk apabila jumlah penduduk dipindahkan terus meningkat kepada 397 orang daripada 91 keluarga setakat jam 8 pagi pada Selasa.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Muallim, air Sungai Slim di Slim River melepasi paras bahaya dengan bacaan 26.02 meter berbanding 25.4 meter.
Bacaan normal sungai berkenaan adalah 23.5 meter.
Peningkatan paras air berlaku berikutan hujan lebat berterusan sejak Ahad yang menyebabkan arus deras dan beberapa kawasan kediaman penduduk mula dinaiki air.
Empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka bermula jam 10.30 pagi pada Isnin.
PPS Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Sekiah Batu 7 menempatkan seramai 158 mangsa daripada 40 keluarga.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam kenyataan di Facebook menzahirkan keprihatinan terhadap nasib penduduk yang terjejas akibat bencana itu.
Beliau yang turun meninjau keadaan mangsa dan lokasi terjejas banjir turut memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan berusaha sedaya upaya untuk meringankan beban mangsa.
“Saya merakamkan penghargaan kepada para sukarelawan serta seluruh agensi dan jabatan yang bertungkus lumus menjalankan kerja menyelamat dan membantu mangsa banjir ini,” katanya.



















