Shah Alam, Sep-
Beberapa laluan utama di sekitar Klang akan ditutup bermula esok hingga 29 September serta 1 Oktober hingga 2 Oktober sempena Istiadat Perkahwinan Diraja, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, di Istana Alam Shah, Klang.
Menurut Polis Klang Selatan, penutupan jalan akan berkuat kuasa dari jam 8 pagi esok hingga selesai bagi melancarkan perjalanan istiadat serta menjaga keselamatan semua pihak.
“Jalan yang ditutup sepenuhnya adalah Jalan Tengku Diaudin ke Jalan Istana, Jalan Istana ke Bulatan Simpang Lima, Jalan Istana ke Jalan Stadium Sultan Suleiman, Jalan Istana ke Lorong Tingkat, Jalan Istana ke Jalan Pegawai, Jalan Istana ke Jalan Tengku Kelana 2, Jalan Bulatan Simpang Lima ke Jalan Bukit Istana.
“Dua jalan ditutup secara berperingkat iaitu Jalan Dato’ Hamzah ke Jalan Tengku Kelana dan Jalan Raja Jumaat ke Jalan Istana.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk merancang perjalanan lebih awal serta menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas,” demikian menurut kenyataan di Facebook rasmi Polis Klang Selatan.




















