
Kuala Lumpur, Okt-
Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan meningkat dan bergerak perlahan setakat 9.30 pagi ini, susulan orang ramai mula pulang ke kampung halaman masing-masing sempena sambutan Deepavali, Isnin ini.
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) laluan E1 arah utara, trafik perlahan dari Sungai Buloh ke Rawang serta Bandar Cassia ke Bukit Tambun.
“Bagi laluan E2 arah utara, aliran trafik perlahan dari Senai ke Kulai manakala arah selatan perlahan dari Kajang ke Bangi, Putra Mahkota ke Nilai, Ayer Hitam ke Machap dan Sedenak ke Kulai,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Sabtu.
Beliau berkata, aliran trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) arah timur juga perlahan dari Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MRR2) ke Plaza Tol Gombak serta Stesen Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ke Genting Sempah.
Menurutnya, di Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) laluan E6 arah selatan, trafik turut perlahan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Persimpangan Nilai (U).
Sementara itu, beliau berkata, dua kemalangan turut dilaporkan berlaku di laluan PLUS pagi ini.



















