Batu Pahat, Okt-
Seorang kanak-kanak lelaki ditemukan parah selepas lehernya dipercayai dikelar menggunakan senjata tajam dalam kejadian di sebuah rumah di Parit Raja, pagi tadi.
Mangsa berusia enam tahun dikelar di leher kanan dipercayai menggunakan pisau dengan kejadian itu hanya disedari kira-kira jam 5.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata siasatan dijalankan sebaik pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa berusia 40 tahun pada jam 9 pagi tadi.
Beliau berkata, menurut wanita itu, dia tersedar daripada tidur dan mendapati mangsa yang juga anak lelakinya cedera parah di leher.
Justeru, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata.
“Namun, masih terlalu awal untuk pihak polis mengenal pasti motif kejadian itu berlaku,” katanya dalam kenyataan.
Shahrulanuar berkata, polis menasihatkan orang ramai tidak menggunakan media sosial dengan membuat hantaran tanpa sebarang pengesahan pihak berkuasa.





















