Lelaki maut kebakaran di Mont Kiara

 

Kuala Lumpur, Dis-
Seorang lelaki ditemukan maut dalam kebakaran unit kondominium yang didiaminya di tingkat 26, Tiffani Kiara, Mont Kiara, di sini, lewat malam tadi.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui sistem NG999 sebelum mengerahkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Hartamas bersama BBP Menjalara, BBP Sentul dan BBP Taman Tun Dr Ismail ke lokasi.

Katanya, setibanya anggota di lokasi, pasukan mendapati sebuah unit sedang terbakar dan operasi pemadaman serta penyelamatan dilaksanakan segera namun berdepan kesukaran berikutan sistem pencegah kebakaran bangunan tidak berfungsi dengan baik.

“Pasukan terpaksa menggunakan dua pam angkut serta pam jentera bagi menyalurkan air ke unit terbabit.

“Pasukan penyelamat menemukan seorang mangsa lelaki di balkoni dengan tahap melecur 100 peratus dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan Kementerian Kesihatan di lokasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

PGO berkata, kebakaran membabitkan keluasan sekitar 1,500 kaki persegi dengan kemusnahan 100 peratus, sebelum api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 2.03 pagi.

“Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, mangsa berusia 38 tahun dan bekerja sebagai pelukis tinggal di kondominium itu sejak 2021.

“Mangsa belum berkahwin dan kali terakhir berhubung dengan keluarganya pada 6 Disember lalu.

Punca kejadian masih dalam siasatan Unit Forensik,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here