Kuala Lumpur, Dis–
Individu yang bekerja di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bakal menikmati dua hari cuti tambahan selepas Hari Thaipusam dan Hari Wilayah Persekutuan jatuh pada hari yang sama iaitu pada 1 Februari 2026.
Seorang pempengaruh pakar HR berpengalaman, Ku Sim Ling menjelaskan mengenai kekeliruan orang ramai mengenai dua cuti umum tersebut yang jatuh pada hari Ahad.
Menerusi perkongsian di Instagram oleh @professionalbimbo atau lebih dikenali sebagai Aunty HR, katanya, menurut undang-undang buruh, sekiranya cuti umum jatuh pada hari rehat mingguan, pekerja berhak mendapat cuti gantian pada hari bekerja berikutnya.
“Undang-undang Malaysia sejak 1955 menyatakan bahawa jika cuti umum jatuh pada hari rehat, maka cuti gantian akan diberikan. Jadi untuk kes ini, Isnin dan Selasa akan menjadi cuti ganti. Pekerja hanya mula bekerja pada hari Rabu,” jelasnya.
Katanya, malah pada minggu tersebut rata-rata pekerja di Wilayah Persekutuan bakal menikmati cuti hujung minggu yang panjang.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian ramai apabila rata-rata pengguna media sosial meluahkan rasa lega selepas memahami hak cuti gantian yang termaktub dalam undang-undang buruh negara.
“Terima kasih! Sekarang saya dah boleh beli tiket kapal terbang dengan senang hati!,” seloroh Ed Mat Rasul.
“Untuk yang bekerja di Kuala Lumpur sahaja ye. Yang bekerja di Selangor jangan pandai-pandai ambil cuti sampai hari selasa,” komen Fad Ariffin.
“Wah, sekarang baru saya betul-betul faham hari cuti ni. Selama ni selalu risau ada cuti ganti atau tidak sebab dua cuti umum jatuh pada hari yang sama,” komen Nisa Ray.




















