Kuala Lumpur, Dis-
Pelakon popular selatan India dan kini bergelar ahli politik, Vijay tiba di Kuala Lumpur semalam, menjelang pelancaran audio filem terbaharunya Jana Nayagan, yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini.
Menurut penganjur, Malik Streams Corporation, pelakon berusia 51 tahun itu berlepas dari Chennai dengan menaiki jet peribadi dan mendarat di Subang Skypark pada kira-kira 4.30 petang (waktu tempatan) Jumaat. Ketibaan artis itu mendapat perhatian meluas media sosial, yang dikongsi pada pelbagai platform.
“Ketibaan Vijay yang diiringi oleh pengarah muzik filem berkenaan, Anirudh Ravichander diserikan dengan persembahan tarian tradisional,”.
Vijay merakamkan penghargaan atas sambutan yang diberikan dan turut meluangkan masa beramah mesra dengan para penari.
Sebelum ini, Vijay menyuarakan hasrat untuk mengurangkan penglibatan dalam aktiviti lakonan secara beransur-ansur bagi menumpukan kepada bidang politik.
Program berkenaan akan berlangsung dalam dua segmen, bermula dengan Thalapathy Thiruvizha, iaitu konsert penghargaan yang menampilkan kira-kira 30 penyanyi, diikuti pelancaran audio rasmi.
Vijay serta anggota pelakon dan kru produksi dijadual berucap pada segmen pelancaran audio berkenaan.
Beberapa tokoh terkenal industri perfileman Tamil, termasuk pengarah Atlee dan Nelson Dilipkumar, serta pelakon dan pengarah Prabhu Deva, turut berada di negara ini bagi menghadiri acara berkenaan.
Filem terbitan KVN Productions itu bakal ditayangkan pada 9 Jan 2026.



















