‘Iyakkunar Imayam’ Bharathiraja meninggal dunia

Kuala Lumpur, Jun-

Pengarah filem veteran tersohor, Bharathiraja meninggal dunia pada pagi Rabu, Jun 10.

Mendiang menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Chennai, India selepas beberapa bulan berdepan dengan pelbagai masalah kesihatan termasuk jangkitan paru-paru dan komplikasi pernafasan. 

Laporan media tempatan sebelum ini melaporkan kesihatan Bharathiraja semakin merosot sejak tahun lalu selepas pemergian anak lelaki tunggalnya, Manoj, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada usia 48 tahun.

Dilahirkan pada 17 Julai 1941, Bharathiraja dianggap antara pengarah paling berpengaruh dalam sejarah perfileman Tamil.

Beliau mencipta revolusi apabila membawa penceritaan filem keluar daripada set studio dan mengetengahkan keindahan serta realiti kehidupan masyarakat desa sebagai latar utama karya-karyanya.

Beliau bukan sekadar seorang pengarah, sebaliknya pencetus perubahan yang memperkenalkan bahasa perfileman baharu kepada penonton India.

Keupayaannya mengangkat kisah masyarakat desa dengan sentuhan realistik menjadikan karya-karyanya relevan merentasi generasi.

Filem sulung arahannya, 16 Vayathinile yang ditayangkan pada 1977, dianggap sebagai karya penting yang mengubah wajah industri perfileman Tamil dan India.

Bharathiraja turut dikenang kerana berjaya  memperkenalkan ramai pelakon yang kemudiannya menjadi nama besar dalam industri perfileman Tamil.

Sepanjang kerjayanya, beliau bekerjasama dengan beberapa ikon perfileman India termasuk Rajinikanth, Kamal Haasan dan Sivaji Ganesan.

Pendekatan pengarahan beliau yang menitikberatkan realisme serta keaslian lakonan menjadikan ramai pelakon muda ketika itu berkembang menjadi bintang utama industri.

Sementara itu, filem Pulavar yang masih belum ditayangkan dijangka menjadi karya terakhir beliau sebagai pelakon.

Beliau turut dianugerahkan Padma Shri, antara penghormatan awam tertinggi yang diberikan kerajaan India kepada individu yang banyak berjasa kepada negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here