Kuala Lumpur, 30 Jun – Hasil usaha pihak pengurusan Makkal Osai, keluarga mendiang Yogeswaran Alagan, seorang kakitangan Makkal Osai yang meninggal dunia ketika bertugas di tempat kerja, kini menerima bantuan kewangan bulanan daripada PERKESO.
Pengarah Makkal Osai, Dato’ S. Gopalakrishnan berkata, selepas mendiang meninggal dunia akibat serangan jantung di premis Makkal Osai pada 16 Jun lalu, pihak pengurusan telah mengambil inisiatif untuk memastikan keluarga beliau menerima manfaat bulanan PERKESO yang sewajarnya.
Beliau berkata, bantuan bulanan itu dapat disalurkan kerana pihak pengurusan Mak
kal Osai sentiasa membuat caruman PERKESO dan KWSP bagi semua pekerja mengikut peraturan yang ditetapkan.
Semalam, Ketua Pegawai Bahagian Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi PERKESO, Haji Rosaymi Mat Rosli, telah mengunjungi kediaman mendiang Yogeswaran di Pandan Jaya. Beliau menyampaikan surat kelulusan bantuan PERKESO serta bantuan pengurusan pengebumian berjumlah RM3,000 kepada keluarga mendiang.
Mendiang Yogeswaran, 48 tahun, meninggalkan seorang isteri, Puan Thulasidevi, serta dua orang anak perempuan masing-masing berusia 11 dan 18 tahun.
Dato’ S. Gopalakrishnan turut menegaskan bahawa majikan perlu memastikan semua pekerja dilindungi di bawah skim PERKESO. Menurut beliau, perlindungan tersebut amat penting kerana bantuan dan pampasan PERKESO mampu meringankan beban mangsa serta ahli keluarga sekiranya berlaku kemalangan atau kematian ketika bekerja.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed, kerana mempercepatkan proses pemberian pampasan kepada keluarga mendiang Yogeswaran dalam tempoh yang singkat.




















