1. Sepertimana Tuan/Puan sedia maklum, YAB Perdana Menteri pada 4 September 2023 telah mengumumkan untuk membuka semula pengambilan pekerja asing bagi 3 sub sektor perkhidmatan iaitu tukang gunting rambut, tekstil dan kedai emas yang sebelum ini telah dibekukan sejak tahun 2009.
2. Perkara ini telah dibentangkan di dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 September 2023 di mana Kerajaan bersetuju untuk memberi kelulusan seramai 7,500 pekerja asing di bawah 3 sub sektor ini.
3. Susulan daripada keputusan Jemaah Menteri tersebut, Kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia (KSM) bersama-sama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengadakan perbincangan bagi memperincikan mekanisme dan proses kerja permohonan pekerja asing bagi 3 sub sektor berkenaan.
4. Syarat-syarat permohonan yang akan diguna pakai akan menjurus kepada perkara-perkara seperti berikut:
(i) Permohonan: akan dibuat oleh majikan.
(ii) Kuota 7,500 pekerja jumlah kuota ini termasuk jumlah pekerja asing sedia ada yang bekerja di dalam 3 sub sektor berkenaan berdasarkan kepada rekod Jabatan Imigresen Malaysia.
(iii) Kriteria dan kelayakan:
(a) bagi sub sektor tukang emas dan pekerja tekstil:
• sekiranya keluasan lantai adalah sama atau melebihi 1,000-meter persegi, kelayakan adalah 15% dari jumlah tenaga kerja tempatan;
• sekiranya keluasan lantai adalah sama atau melebihi 200- meter persegi tetapi sama atau kurang daripada 999- meter persegi, kelayakannya adalah 3 hingga 4 orang
pekerja; dan
• sekiranya keluasan lantai tidak melebihi 199-meter persegi, kelayakannya adalah 2 orang pekerja.
(b) Bagi sub sektor tukang gunting rambut:
• bilangan 3 kerusi iaitu (1 pekerja tempatan: 2 pekerja asing); dan
• pengusaha diwajibkan mempunyai Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang diiktiraf oleh Kerajaan.
(iv) Tempoh Penggajian:
(a) bagi pekerja asing baharu:
• tempoh penggajian adalah mengikut dasar semasa iaitu 10
tahun + 3 tahun.
(b) bagi pekerja asing sedia ada:
• tempoh penggajian tertakluk kepada baki tempoh penggajian mengikut dasar semasa iaitu 10 tahun + 3 tahun; dan
• pekerja sedia ada yang telah memenuhi tempoh penggajian 10 tahun + 3 tahun perlu dihantar pulang.
(v) Tempoh permohonan:
(a) bagi pekerja asing baharu:
• senarai permohonan boleh dikemukakan oleh pihak persatuan kepada Kementerian Sumber Manusia bermula 10 Oktober 2023 (Selasa).
• permohonan ini dibuka sehingga kuota yang ditetapkan oleh Kerajaan telah dipenuhi bagi 3 sub sektor ini; dan
• tiada lanjutan permohonan dibenarkan selepas kuota dipenuhi.
(b) bagi pekerja asing sedia ada:
permohonan pembaharuan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) boleh dibuat oleh majikan bagi pekerja di bawah kategori ini bermula 10 Oktober 2023 (Selasa).
5. Selain syarat-syarat di atas, kelulusan penggajian pekerja asing untuk 3 sub sektor ini akan tertakluk kepada:
(a) kewujudan dan pengoperasian premis perniagaan sedia ada sahaja;
(b) keperluan mendapatkan kelulusan awal daripada Ketua Pengarah
Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) di bawah Seksyen 60K Akta Kerja 1955;
(c) rayuan permohonan Seksyen 60K di bawah JTKSM adalah tidak dibenarkan;
(d) tempoh bayaran levi adalah 30 hari dan tiada rayuan lanjutan bagi tempoh bayaran levi tersebut;
(e) tempoh Surat Kelulusan Bersyarat (SKB) adalah 18 bulan; dan
(f) lain-lain ketetapan selaras dengan urusan penggajian pekerja asing.
6. Hebahan mengenai syarat-syarat permohonan dan proses penggajian pekerja asing bagi subsektor perkhidmatan tukang gunting rambut, tukang emas dan tekstil akan dipaparkan melalui laman web KSM dan JTKSM serta akan turut dimuat naik dalam laman media sosial KSM.
7. Kementerian Sumber Manusia menyarankan majikan menyahut aspirasi YAB Perdana Menteri supaya keutamaan diberi kepada pengambilan tenaga kerja tempatan sebagai satu mekanisme exit strategy ke arah mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing.
8. Perlu diingatkan juga untuk semua majikan supaya mematuhi segala peruntukan undang-undang perburuhan TERMASUK penyediaan penginapan yang diperakukan oleh JTKSM, bayaran gaji minimum, caruman PERKESO, pengambilan agensi pekerjaan swasta tempatan yang telah dilesenkan oleh JTKSM dan memastikan agensi di negara sumber juga turut berlesen serta pematuhan yang lain supaya negara tidak dilabelkan sebagai negara pengamal buruh paksa.