Hulu Selangor, Mei.
Kejadian tiga beranak lemas ketika bermandi-manda di Sungai Balak, Batang Kali, di sini, semalam, dipercayai berlaku apabila seorang daripada mangsa berkenaan tergelincir ke dalam sungai.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim, berkata mangsa tergelincir yang juga kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun itu kemudian cuba diselamatkan oleh bapanya.
Pada masa sama, beliau berkata, anak lelaki berusia enam tahun turut terjun ke dalam sungai tanpa disedari ibunya, sebelum ketiga-tiga mangsa lemas.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati sebelum kejadian, tiga mangsa berkenaan dipercayai melakukan aktiviti riadah bersama enam lagi ahli keluarga di lokasi terbabit.





















