Shah Alam, May-
Jumlah volum industri (TIV) jualan kenderaan baharu Malaysia bagi April tahun ini menyusut sehingga 18 peratus berbanding Mac lepas yang mencatatkan sebanyak 71,052 unit.
Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dalam satu kenyataan berkata, penurunan pasaran itu berikutan tempoh masa bekerja yang singkat disebabkan cuti sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri. Bagaimanapun, menurut persatuan tersebut, jumlah TIV untuk dagangan jualan tahun (YTD) pada April 2024 adalah lapan peratus lebih tinggi daripada tempoh yang sama bagi tahun 2023.
“Dari segi jualan, kenderaan penumpang (PV) bagi April 2024 meningkat kepada 53,253 unit berbanding tempoh sama tahun sebelumnya iaitu 42,587 unit.
“Kenderaan komersial (CV) pula merosot sembilan peratus iaitu daripada 5,215 dalam April 2023 kepada 4,738 bagi April 2024.
“Bagaimanapun, jumlah keseluruhan PV dan CV bagi April 2024 meningkat 21 peratus iaitu sebanyak 57,991 unit berbanding tempoh sama tahun sebelumnya yang hanya mencatatkan 47,802 unit,” katanya pada Isnin.




















