Malaysia berdepan beban kanser sangat besar – KKM

Kuala Lumpur, Julai-
Kes kanser yang dikesan pada tahap tiga dan empat meningkat 64.1 peratus antara 2017 hingga 2021 berbanding 63.7 peratus antara 2012 hingga 2016.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, trend peningkatan itu ternyata membimbangkan kerana kadar kelangsungan hidup menjadi lebih rendah sekiranya kanser dikesan lewat.

Katanya, peningkatan itu secara tidak langsung menyaksikan Malaysia kini sedang berdepan dengan beban kanser yang sangat besar.

“Secara amnya, Malaysia menyaksikan peningkatan ketara dalam kes kanser yang dilaporkan dari 2017 hingga 2021, sebahagiannya disebabkan oleh pelaksanaan sistem notifikasi baharu dan arahan pekeliling. “Oleh itu, adalah penting bagi pihak berkepentingan untuk terbabit secara aktif dalam pencegahan, kawalan dan rawatan kanser dengan memanfaatkan data ini secara strategik dalam perancangan,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, KKM berkata penyakit kanser terus meningkat sebagai penyakit kronik di negara ini sekali gus menjadi penyebab ketiga kematian dengan 15,200 kes pada 2022.

“Dari 2017 hingga 2021, 10 jenis kanser yang paling kerap dikesan dalam kalangan rakyat Malaysia, disenaraikan mengikut keutamaan adalah kanser payudara, kanser kolorektal, kanser paru-paru, limfoma, kanser hati, kanser prostat, leukemia, kanser nasopharynx, kanser rahim dan kanser ovari.

“Analisis mengikut jantina mendedahkan bahawa kanser kolorektal mencatatkan insiden kanser tertinggi dalam kalangan lelaki, diikuti oleh kanser paru-paru dan kanser prostat.

“Dalam kalangan wanita, kanser payudara mempunyai insiden tertinggi, diikuti oleh kanser kolorektal dan kanser paru-paru.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here